Monday 6 December 2010

suasana pengijazahan kumpulan pertama 2010




Thursday 2 December 2010

fatwa terkini tentang bahan haram untuk rawatan

Dari Fatwa Para Ulama Islam.
1. Apakah hukum menggunakan ubat-ubatan yang bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan rasa sakit seperti ubat bius, pelali dan sebagainya.
Mengambil ubat-ubatan tertentu yang bertujuan untuk memberikan rasa tenang dan kerehatan kepada diri pesakit atau yang bertujuan untuk mengurangkan rasa sakit adalah harus dan tidak berdosa. Ubat-ubatan seperti ini boleh diambil samada sebelum proses rawatan dilakukan atau selepasnya. Walau bagaimana pun, sekiranya ubat-ubatan tersebut termasuk dalam kategori “bahan yang boleh memabukkan serta menghilangkan akal”[seperti arak]  maka pengambilannya adalah tidak dibenarkan, iaitu berdasarkan sabda Nabi saw yang bermaksud, “Apa sahaja bahan yang boleh memabukkan maka pengambilannya, walaupun dengan kadar yang sedikit, adalah haram”. Justeru, apa sahaja ubat-ubatan yang tidak memabukkan tetapi dapat memberikan rasa tenang atau mengurangkan rasa sakit maka pengambilannya adalah harus.     

2. Hukum menggunakan ubat-ubatan yang dikeluarkan daripada bangkai. Saya adalah seorang farmasis dan saya telah mengenalpasti melalui pengalaman dan kajian saya bahawa terdapat sesetengah syarikat pengeluar ubat yang telah menghasilkan ubat-ubatan mereka daripada binatang-binatang yang tidak disembelih. Adakah penggunaan ubat-ubatan seperti ini dibolehkan?
Tidak harus menggunakan bahan-bahan yang termasuk dalam kategori “bangkai” [binatang-binatang yang mati tanpa melalui sembelihan menurut hukum syarak] bagi tujuan rawatan. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi saw yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar umatku di dalam apa-apa yang diharamkanNya  
Imam Ibn al-Qayyim menyatakan, “Berubat dengan bahan-bahan yang haram adalah buruk dan keji  menurut pertunjuk akal dan syarak. Adapun “keburukan”nya dari segi syarak maka ianya berdasarkan hadis Nabi saw. Adapun “keburukan”nya dari segi akal maka sesungguhnya Allah hanyasanya mengharamkan sesuatu perkara atau bahan kerana keburukan dan kekejian yang terdapat di dalam bahan-bahan tersebut. Ini adalah kerana Allah tidak mengharamkan ke atas umat Muhammad saw “apa-apa yang baik dan bermanfaat” sebagai suatu hukuman ke atas mereka, iaitu berbeza dengan kaum Bani Israil, di mana terdapat “benda-benda yang baik” yang diharamkan ke atas mereka. Firman Allah yang bermaksud, “Maka disebabkan oleh kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi maka Kami mengharamkan ke atas mereka apa-apa yang baik-baik yang telah dihalalkan kepada mereka [sebelum daripada itu]…….” [al-Nisa’, 160]. Justeru, apa sahaja yang diharamkan oleh Allah ke atas umat ini maka pengharaman tersebut adalah ekoran daripada keburukan dan kekejian yang terdapat di dalam bahan-bahan terlarang tersebut. Ini bermakna Allah mengharamkan bahan-bahan tersebut dengan tujuan untuk memelihara umat ini daripada segala bentuk keburukan dan kekejian yang wujud di dalam bahan-bahan yang diharamkanNya. Justeru, adalah tidak munasabah bagi umat ini untuk mencari penawar bagi penyakit melalui bahan-bahan tersebut yang diharamkan. Sekalipun mungkin bahan-bahan haram tersebut didapati mempunyai “kesan” di dalam menghilangkan penyakit fizikal, namun bahan-bahan terlarang tersebut pastinya akan menghasilkan suatu racun yang terlebih besar pada jiwa dan rohani [orang yang mengambilnya] ekoran daripada “keburukan yang nyata yang tersembunyi” di dalamnya. Maka orang yang merawat dirinya dengan menggunakan “bahan-bahan yang terlarang menurut syarak” sebenarnya telah berusaha untuk menghilangkan kesakitan pada badannya [saqam al-badan] dengan mendatang penyakit lain pada jiwa dan hatinya [saqam al-qalb].”        

3. Apakah hukum menggunakan ubat-ubatan yang dibuat daripada organ-organ tertentu daripada binatang?
Terdapat tiga keadaan yang berkaitan dengan proses membuat ubat-ubatan daripada binatang :
1. binatang tersebut adalah daripada binatang-binatang yang halal dimakan dan ianya juga telah disembelih menurut peraturan syarak. Berubat dengan menggunakan binatang seperti ini [organ-organnya dan sebagainya] adalah harus. 
2. binatang tersebut adalah daripada binatang-binatang yang halal dimakan tetapi ianya tidak disembelih menurut peraturan syarak. Berubat dengan menggunakan binatang seperti ini [organ-organnya dan sebagainya] adalah haram dan tidak dibenarkan [kerana ianya adalah bangkai]. 
3. binatang tersebut adalah daripada binatang-binatang yang tidak halal dimakan [seperti babi, anjing, ular dan lain-lain]. Berubat dengan menggunakan apa-apa elemen dari binatang-binatang seperti ini adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Berkata Shaykh al-Islam Imam Ibn Taymiyyah sebagai jawapan kepada persoalan adakah harus mengubati penyakit dengan arak, “…..berubat dengan arak adalah haram berdasarkan nas yang jelas dari Nabi saw dan inilah juga pandangan majoriti ahli ilmu. Telah sabit di dalam sepotong hadis yang sahih di mana bilamana Nabi saw ditanya mengenai arak yang dijadikan ubat maka Baginda saw bersabda, “Sesungguhnya arak itu adalah penyakit dan bukannya ubat”. Dan di dalam hadis sahih yang lain “Nabi saw telah melarang berubat dengan bahan-bahan yang buruk, kotor dan keji”. Dan di dalam hadis yang lain Nabi saw telah ditanya mengenai katak yang ingin dijadikan ubat lalu Baginda saw telah melarang membunuhnya dan bersabda, “Sesungguhnya kuakan seekor katak itu merupakan tasbih [kepada Allah]”. Ingin dijelaskan bahawa menjadikan bahan-bahan terlarang [seperti arak dan babi] ini sebagai ubat tidak boleh disamakan dengan keadaan “seseorang yang terpaksa memakan bangkai bagi menyelamatkan nyawanya”. Ini adalah kerana “terpaksa memakan bangkai [atau meminum arak] bagi menyelamatkan nyawa” adalah suatu keadaan “darurat” yang wajib dilakukan dan tiada pilihan demi menjaga nyawa di mana nyawa diyakini sepenuhnya akan terselamat apabila bangkai tersebut dijamah. Kerana itu barangsiapa yang terpaksa memakan bangkai [demi menyelamatkan nyawanya dari mati kebuluran] dan kemudiannya dia enggan makan sehingga mati maka dia berdosa dan akan masuk neraka. Berbeza dengan keadaan menjadikan bahan-bahan haram sebagai ubat di mana kesembuhan penyakit melalui bahan-bahan haram ini tidak dapat dipastikan [mungkin sembuh dan mungkin tidak], sedangkan Allah berkuasa menyembuhkan hambaNya melalui wasilah dan pendekatan yang berbagai-bagai. Dan begitu juga hokum merawat penyakit [sakit fizikal] adalah tidak wajib menurut jumhur ulama.
Justeru, keperluan memakan bangkai atau meneguk arak ketika darurat [bagi menyelamatkan nyawa] tidak boleh disamakan dengan perbuatan “menjadikan bahan-bahan haram sebagai ubat untuk tujuan rawatan”.         

Sekian,
Salam hormat untuk sahabat2, semoga fatwa ini dapat menambahkan pengetahuan kita sebagai perawat.

Rushdi Ramli, Darul Syifa’.