Monday 20 September 2010

Kerajaan Sedia Bantu Darussyifa’ Demi Faedah Rakyat


ALOR SETAR- Kerajaan Negeri sedia menawarkan bantuan kepada Darussyifa’ Malaysia Cawangan Alor Setar agar manfaat daripada institusi berkenaan dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negeri ini.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, beliau bersyukur dengan kejayaan kumpulan pertama menamatkan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ semalam.

“Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama dan bantuan kepada Darussyifa’ bukan dari segi kewangan tetapi kemudahan, apatah lagi Darussyifa’ adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Kumpulan Pertama Negeri Kedah Cawangan Alor Setar di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Majlis Pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Alor Setar disempurnakan oleh Pengasas dan Penasihat Darussyifa’ Malaysia, Dato’ Dr. Haron Din.

Kumpulan Pertama Negeri Kedah itu disertai seramai 152 orang iaitu 122 lelaki dan 30 perempuan, namun hanya 127 peserta sahaja iaitu 99 lelaki dan 28 perempuan yang berjaya menamatkan kursus itu.

Sementara itu, Haron Din dalam amanatnya menasihatkan setiap peserta yang mengikuti kursus di Darussyifa’ tidak meninggalkan amalan zikir selain mengamalkan apa yang mereka pelajari sepanjang kursus.

“Saya gembira kerana ramai yang berjaya melepasi halangan, hanya sebilangan kecil yang gugur di pertengahan jalan dan kepada yang berjaya, perlu diingatkan bahawa mereka akan berhadapan dengan pelbagai karenah dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau sedar bahawa bukan semua akan terlibat dalam kerja-kerja rawatan dan nasihat beliau agar janganlah meninggalkan amalan zikir serta mengamalkan apa yang sudah dipelajari di Darussyifa’.

Haron Din menjelaskan, perbuatan sihir boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak hanya di Negeri Kedah dan perlulah menggunakan kaedah yang betul untuk merawatnya.

“Biasanya jika berlaku sihir dalam masyarakat, mereka akan mencari sihir juga untuk mengubati sedangkan itu salah kerana sihir perlulah dirawat dengan kaedah yang betul dan kita hanya boleh merawat sekadar yang termampu dan selebihnya serahkan pada Allah untuk menyembuhkannya,” tambahnya.

0 comments:

Post a Comment